News Update :
Showing posts with label Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Malaysia. Show all posts

Mencaci untuk membuktikan keimanan, Benar kah?

July 26, 2010

Salam,
Sekadar pendapat seorang mualaf yang tidak arif tentang al-Quran dan tidak pula memahami  bahasa Arab. Mengenali agama Islam cuma melalui falsafah Islam dalam buku bahasa Inggeris, dan membaca kisah hidup Nabi Muhammad s.a.w yang ditulis dalam bahasa Melayu atau bahasa Indonesia.

Namun beberapa keadaan 'setempat' telah menimbulkan persoalan buat saya secara peribadi. tentang kecenderungan mencaci, memaki hamun dan memburukkan individu tertentu secara khusus. Kononnya semua itu demi Islam yang suci dan membuktikan keimanan diri.

Seolah semakin tumbuh kelompok yang gemar mencaci maki pihak lain dengan gelaran buruk seperti; beruk  dan sebagainya. Mereka beranggapan itulah bukti mereka lebih beriman berbanding orang lain. Benarkah itu tanda keimanan dan keislaman?

Malah kelompok ini menganggap cacian serta hasutan mereka adalah jihad yang suci. Persoalannya, perlukah umat Islam saling mencaci, menghina, memfitnah dan merendah-rendahkan orang lain? Demi membuktikan kita lebih beriman dan lebih Islamic.

Dalam menyedari pengetahuan saya yang amat rendah, tapi saya penuh yakin agama melarang percaya pada cerita yang tidak jelas dan berunsur  fitnah. Apalagi mencaci dan menghasut orang lain atas suatu perkara yang tidak jelas pula. Apakah ini ajaran baru?

Ironisnya agama terus dijadikan kuda tunggangan, dan ayat-ayat suci al-Quran dijadikan topeng perjuangan bagi mereka yang gila kuasa. Tujuan kelompok ini cuma satu, iaitu ingin berkuasa. Maka timbullah ‘sabda-sabda’ tersendiri untuk ‘menghalalkan cara’ demi mencapai kerusi dunia.

Dalam hidup bermasyarakat, elok juga kita renung sebentar; Paderi Kristian, Sami Buddha atau Pendeta Hindu semuanya focus kepada agama dan kebajikan kaum seumat mereka. Tidak pernah mereka sibuk mencaci disana-sini, memfitnah sesama sendiri atau menghasut orang lain untuk membuktikan mereka lebih beriman. 

Sepertimana dalam agama Islam, Agama lain juga percaya setiap agama mempunyai prinsip moral. Namun kelompok Islam ini menganggap moral sebagai suatu yang kuno atau seperti katak bawah tempurung . Setiap cacian mereka adalah Jihad, setiap fitnah dan hasutan mereka juga Jihad yang menjanjikan syurga.

Jika dicermin dari sikap kelompok tersebut, orang lain akan berkata; "Jelas sekali agama Islam itu bukan untuk orang biasa, tapi untuk orang yang gila kuasa..."


Benarkah Islam agama yang "mudah"?. Dengan mencaci dan memfitnah saja boleh meluruskan jalan ke syurga. Kenapa pula hubungan dengan Tuhan ditentukan oleh mereka...

Justeru jika benar memcaci membuktikan keimanan, apakah Islam mampu menjadi agama yang menarik dimata dan hati orang lain (?).

p/s: ditulis sewaktu berbaring diatas pohon sagu, sambil makan buah jambu...

Mentaliti Subsidi dan Tongkat Sakti

July 22, 2010

Santai sejenak..
Sekali lagi rakyat Malaysia mulai berbahas sesama sendiri tentang kenaikan beberapa harga barang, seperti gula, minyak dan gas (LPG). Semua itu bermula dengan tindakan kerajaan untuk mengurangkan beban subsidi yang dikatakan berlebihan.

Lebih penting, penjimatan subsidi secara berperingkat akan mampu memberi imbangan yang positif terhadap defisit belanjawan dan difisit akaun semasa yang tidak kondusif untuk pertumbuhan ekonomi macro diwaktu mendatang.

Dari perspektif macro, kebijaksanaan pemerintah Indonesia dan pengorbanan rakyatnya adalah contoh terbaik bagaimana subsidi dikurangkan secara berperingkat. Meskipun dengan pertumbuhan yang sederhana dan perlahan, tapi itulah momentun kebangkitan ekonomi yang sangat meyakinkan dirantau ini.

Jangan lupa mengamati momentum kemelesetan yang mulai bergerak di beberapa negara eropah. Malaysia sebagai entiti ekonomi yang sangat bergantung pada pasang-surut ekonomi dunia, memang sewajarnya mengambil langkah awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Atau setidaknya, melaksanakan reformasi pemulihan terhadap jentera micro yang kurang agresif.

Mentaliti Subsidi
Keseluruhan nilai penjimatan subsidi oleh kerajaan adalah kecil berbanding beban defisit akaun semasa yang semakin melebar. Kesan pengurangan subsidi juga dijangka minima, jika tidak terdapat manipulasi oleh peniaga.

Namun kenaikan harga gula, petrol dan LPG telah membuat segelintir rakyat Malaysia terpancing emosi dan terbakar janggut. Semua itu kerana rakyat Malaysia memang tidak mampu melihat ekonomi tanpa sentiment politik, atau mungkin memang tidak tahu tentang proses ekonomi dalam sesebuah negara.

Malah seolah-olah, rakyat Malaysia beranggapan ekonomi negara sentiasa mencurah-curah dan mengalir serta datang melimpah seperti air. Maka tidak hairan, jika ditengah-tengah keadaan ekonomi yang lemah. ada pihak  meminta subsidi, kenaikan gaji, bonus atau tunjangan tertentu.

Di Malaysia, pemerintah bukan sahaja mengawal dan memberi subsidi pada harga barang seperti petrol, LPG, minyak masak, tepung, ayam dan lain-lainnya. Malah harga ‘telur’ pun kerajaan terpaksa ‘control’ supaya rakyat Malaysia mampu membeli telur.

Mungkin inilah yang ‘menelurkan’ mentaliti subsidi yang keterlaluan. Anehnya, dalam kehidupan yang sangat bergantung pada bantuan dan subsidi kerajaan. Masih ada juga rakyat yang angkuh dan gemar mendabik dada.

Tongkat Sakti
Orang luar juga pasti tahu, rakyat Malaysia nampak megah dan tegak berdiri kerana ‘tongkat sakti’ dari pemerintah.

Di Singapore dan Thailand. ekonomi mereka banyak digerak oleh inisiatif rakyat dan pihak swasta. sedangkan di Malaysia, rakyat dan pihak swasta terus bergantung dan menunggu insentif dari kerajaan.

Dengan mentaliti subsidi dan tongkat sakti, berapa ramai rakyat Malaysia yang masuk Universiti atas dasar meritokrasi? Mereka mungkin lebih mengenali ‘kouta kronisme dan terus berjuang untuk itu. Kerana ‘isme’ itulah yang menjadi talian hayat agar bangsa melayu/bumiputra mampu berdiri dan bersaing dengan bangsa Cina dan India.

Tanpa tongkat dari pemerintah, mereka bukan sahaja tidak mampu berdiri. malah akan mengemis dibumi sendiri.

Ramai juga teman-teman saya diluar negara mengatakan; “bukanlah suatu yang istimewa di Malaysia, jika anak seorang petani miskin, nelayan atau driver teksi mampu belajar ke Amerika, UK, Canada, Australia atau New Zealand …”. semua itu kerana tongkat sakti yang diberikan oleh kerajaan.

Ada juga yang berkata; "hidup warga Malaysia kelihatan lebih mudah dan senang mendapat apa yang mereka mahu..." Mengapa tidak, dengan kos sara hidup di Malaysia yang relatif rendah, biaya pendidikan dan kesihatan yang murah kerana subsidi kerajaan. Ditambah lagi dengan tongkat sakti, maka semuanya nampak lebih senang dan lebih mudah berbanding rakyat lain di negara serantau.

Persoalannya, apakah rakyat Malaysia lebih peka tentang sepak terajang ekonomi? berbanding rakyat   Singapore atau Thailand.

Sedangkan di Malaysia, setiap kali masalah ekonomi melanda negara. rakyat mulai meminta kenaikan gaji dan bonus sambil memaki hamun kerajaan yang memerintah. Jauh sekali untuk membicarakan soal ekonomi dengan bijak.

Kerana orang Malaysia cuma ada satu kecenderungan saja, iaitu poltik. Maka semuanya dilihat dari satu sudut pandang dan sentiment politik.

Seorang sahabat blogger di Australia pernah berkata, “orang Malaysia cenderung berpolitik sepanjang masa, makanya kurang ketrampilan dalam hal lain…”.

Lebih dari itu, Apakah subsidi dan tongkat sakti telah melemahkan daya fikir orang Malaysia? Atau memang, mentaliti subsidi dan tongkat sakti telah melahirkan generasi yang moron dan goblok?

Di sisi lain, seolah terbukti  sikap “moron dan goblok” memang wujud dikalangan rakyat Malaysia. mereka mulai angkuh dan bangga dengan menggerakkan segala provokasi dalam masyarakat. Berbagai hasutan, sentiment kebencian dan perkauman telah dianjurkan keseluruh negara termasuk di 2 negeri autonomi Sabah dan Sarawak. yang dihuni lebih 30 etnik.

Peristiwa 1969, mungkin akan berulang dengan lebih dahsyat. Inilah bom waktu  yang mereka lontarkan untuk kemusnahan negara Malaysia…

Semakin jelas, Mentaliti subsidi dan tongkat sakti telah mewujudkan kelompok rakyat yang moron dan goblok. hingga sanggup menganjurkan kemusnahan negara untuk kepentingan peribadi.


p/s: sekadar pendapat orang kampung yang tinggal diatas pohon sagu.

Boikot Produk Kita !

July 3, 2010

Sebelum ini seluruh negara meriah dengan gesaan boikot produk Israel dan Amerika, atau apa saja yang berkaitan dengan negara tersebut. Semua suara itu dengan sendirinya telah tenggelam entah dimana.

Mungkin menyedari usaha boikot tersebut tidak menghasilkan apa-apa, dan tidak juga mengubah atau mengurangkan kebejatan yang ada.

Bagaimana pula suasana dalam negara kita, apakah tidak ada kejahatan yang harus kita boikot?

Dalam kita berteriak jauh ke luar sana, jangan lupa memboikot kebejatan atau kejahatan yang sedang tumbuh dan berkembang di dalam negara sendiri.

Mungkin inilah produk kita, yang tumbuh dari tangan dan jiwa raga kita sendiri. Perlu juga kita akui, kerajaan maupun pemerintah tidak pernah beri lesen atau keizinan untuk produk-produk ini.

Inilah Produk Kita:

1. Pembunuhan dan pembuangan bayi semakin berleluasa
Bagi masyarakat Islam Malaysia, tidakkah kita malu? Masyarakat agama lain jarang lakukannya. jangan asyik 'cover up'.

2. Mat Rempit atau Lumba Haram.
Dalam masyarakat yang ‘monkey see, monkey do’, aktiviti ini tidak akan dapat dihentikan dengan filem atau drama tv. Malah menambah keinginan untuk mencuba. sebabnya cuma satu, kita adalah  monkey see, monkey do!

3. Dadah, Pil khayal dan Kegemaran menghisap ganja.
Banyak juga orang kita yang cuba jadi usahawan kecil dan sederhana dalam bidang ini. Bila sudah tertangkap, mulalah meminjam sandiwara lama yang berjudul “aku sekadar manusia biasa” dengan wajah yang simpatik.

4. Jenayah Ragut dijalanan.
Ini bukan sahaja mengancam keselamatan orang awan, tetapi juga pelancong asing. Jangan sampai negara kita dianggap destinasi yang menakutkan.

5. Seks bebas
Mereka kata ini tanda kita sudah open minded, benarkah? Sedangkan ‘open minded’ tidak ada kaitan secara specifik dengan seks, tapi lebih kepada soal pengetahuan dan ilmuan. atau mungkin, kita memang sudah tolol...

6. Video Seks 3gp
Setiap hari, seolah ada saja yang mahu buat koleksi peribadi untuk kenangan hari tua. Mungkin kerana keinginan untuk jadi seorang pelakon filem atau Celebrity TV yang belum tercapai. akhirnya tercapai juga hasrat tersebut sebagai artis di layar Handphone dengan versi Bluetooth....yang penting, Bluetooth!

Bagaimana, Ada sesiapa mahu berdemontrasi memboikot produk diatas? Pasti tidak, takut nanti malu sendiri . atau kembali saja ke alasan klasik "kita hanyalah insan biasa, yang tidak berdaya". tapi sangat berdaya  saing dalam hal-hal yang salah.

p/s: Selamat istirahat dihujung minggu buat teman-teman. 

Sarawak RWMF 2010 | Rainforest World Music Festival

July 2, 2010

Salam promosi...haha

Rainforest World Music Festival adalah festival unik, yang mengumpulkan para pemuzik terkenal dari seluruh benua di dunia  dan juga pulau borneo.

Penyertaan dan kehadiran pengunjung dari seluruh dunia telah memeriahkan festival ini setiap tahun. RWMF yang berlangsung di Sarawak Culture Village, Pada tahun ini dijadualkan bermula pada 9 hingga 11 July, 2010. informasi lanjut, sila klik di SINI

Festival  RWMF telah berjaya dianjurkan selama 13 tahun, dan tahun ini (2010) adalah edisi yang ke 13. Rainforest World Music Festival di Sarawak juga telah diktiraf sebagai Top 10 World Music Festival oleh the World Music Expo (WOMEX), Aseanta Award of Excellence 2009 dan telah mendapat anugerah UNESCO pada tahun 2007.

RAINFOREST WORLD MUSIC FESTIVAL 2010

SHOW DETAILS:

Date : 9 - 11 July 2010 (Fri, Sat & Sun)

Time : Doors open at 10am till after 12am

Venue : Sarawak Cultural Village, Kuching, Sarawak, Malaysia

Seating arrangement : Free standing

Stalls available : Food, beverages & souvenirs

TICKET INFO:

1-day Pass (adult) – RM110.00
1-day Pass (child) – RM55.00 
 Untuk membeli tiket atau informasi yang berkaitan sila berkunjung ke SINI




photo credit to: link

Jemaah Islamiah, Indonesia telah merasa getarnya

June 23, 2010

Salam buat teman-teman,
Beberapa hari ini, media Malaysia melaporkan tentang kewujudan semula rangkaian Jemaah Islamiah. Kabarnya, Kerajaan Malaysia telah membuat beberapa tindakan terhadap kelompok dan warga asing tersebut yang disy
aki cuba merekrut pelajar untuk menyertai mereka.

Saya mungkin tidak berminat dan juga tidak wajar untuk mengulas lanjut tentang Jemaah Islamiah secara specifik kerana sumber internet boleh kita akses secara bebas. Namun warga Indonesia  lebih tahu, dan negara Indonesia telah merasa getaran Jemaah Islamiah. Malah fakta di pengadilan Indonesia juga telah memutuskan.

Ditengah keseriusan kerajaan melihat isu ini sebagai isu yang melibatkan keselamatan negara. Ironisnya, ada pihak yang berkepentingan politik meremehkan usaha kerajaan dengan alasan yang sungguh 'keanak-anakkan'. Malah ada juga kelompok yang 'lucu' mengatakan; mereka sudah membuka kamus bahasa Melayu, dan menurut mereka istilah "Islamiah atau Islamiyah" itu tidak berbahaya.

Benar! istilah "Islamiah atau Islamiyah" memang tidak mengancam keselamatan negara. dan memang tidak ada kamus yang mampu berbicara tentang konfederasi Jemaah Islamiah. kerana kamus memang sekadar untuk menterjemah suatu 'istilah', tidak lebih dari itu. 

Sewaktu pemerintahan Presiden Megawati, Indonesia pernah dikecam oleh Amerika. bukan kerana 'istilah' Jemaah Islamiah. tapi disebabkan oleh aktiviti dan kecenderungan yang dilakukan oleh rangkaian Konfederasi Jemaah Islamiah di Indonesia.

Sebagai rakyat biasa kita memang berharap pemerintah Malaysia dan Indonesia saling bekerjasama untuk menangani kecenderungan tertentu. Agar tidak menjadi api yang bergerak ditengah masyarakat seterusnya mengancam keselamatan negara.

Usahlah kita meremehkan usaha kerajaan dan keselamatan hanya kerana politik dan cintakan  Islamiah. untuk membaca tentang Jemaah Islamiah silakan disini atau sini.


p/s: sudah ada bau politik di blog santai sejenak

Era Kebangkitan Asia | World Competitiveness 2010

May 22, 2010

Saya tertarik untuk mengutip data ini sebagai pengetahuan peribadi dan akademik. Berdasarkan data ini, tahun 2010 membayangkan dimensi baru kebangkitan ekonomi yang berpusat di Asia. malah lebih menarik Singapore negara dari Asia tenggara menduduki ranking teratas sebagai yang paling berdaya saing di dunia. Data ini adalah berdasarkan kajian oleh IMD business school in Lausanne, Switzerland.

Berikut adalah 20 Negara paling kompetitif di dunia Ranking pada 2010;
  1. Singapore
  2. Hong Kong
  3. USA
  4. Switzerland
  5. Australia
  6. Sweden
  7. Canada
  8. Taiwan
  9. Norway
  10. Malaysia
  11. Luxembourg
  12. Netherland
  13. Denmark
  14. Austria
  15. Qatar
  16. Germany
  17. Israel
  18. China Mainland
  19. Finland
  20. New Zealand
Ini adalah 20 dari 58 negara yang termasuk dalam daftar  World Competitiveness Yearbook 2010, Menurut pembacaan saya, laporan tersebut adalah berdasarkan 327 kriteria yang berbeda dari 58 key ekonomi. termasuk - economic performance, government and business efficiency, infrastructure, exports, and the level of corruption.
Untuk lebih lanjut sila membaca di SINI 

Disclaimer
Artikel ini adalah ulasan peribadi dan ditulis untuk keperluan akademik.

SARAWAK KOLOK MEE

May 15, 2010

Salam santai.
Kali ini saya nak promosi makanan Sarawak yang terkenal dan sederhana, mungkin juga sebagai informasi  untuk teman-teman blogger. Kebetulan ada permintaan dari sahabat blogger Indonesia (Alkatro) agar saya posting tentang Sarawak Kolok Mee.
Kolok Mee adalah makanan yang sangat sinonim dan digemari masyarakat Sarawak, malah siapa saja yang pernah ke negeri Sarawak akan menganggap kolok mee sebagai makanan yang sangat popular diseluruh Sarawak.

Pada asalnya Kolok Mee adalah makanan masyarakat Tionghua yang mudah disediakan, masyarakat Tionghua adalah penduduk utama dan kedua terbesar di negeri Sarawak setelah masyarakat Dayak.

Meskipun Kolok Mee adalah hidangan yang ringkas dan mudah, namun terdapat tips and trick yang tersendiri, dengan langkah-langkah penyediaan yang menarik untuk menghasilkan rasa yang lebih authentic dan Sarawakian…haha

Free Image HostingHidangan Kolok Mee biasanya ditambah dengan ayam, seafood, cendawan, hirisan daging atau char siew (non-Halal).  dan dihidang bersama sup yang diasingkan.
Sebenarnya Kolok Mee tidak sama dengan Wanton mee atau Hakka mee. Cuma ada sedikit persamaan dengan Kampua mee yang terkenal dikalangan masyarakat Foo Chow di Bandar Sibu. Namun Kampua mee dihidang dengan cara dan bahan yang berbeda dengan Kolok Mee.

Free Image Hosting

Kolok Mee is a type of noodle dish commonly found in Sarawak. It is served throughout the day - for breakfast, lunch or even supper. It is made of egg noodle, blanched in water that looks like instant noodle and served in a light sauce with some condiments like shredded beef.

Informasi untuk pengunjung:
Sarawak Kolok Mee terdapat dalam versi Halal dan non-Halal.
nyam,nyam...nyamm

ISU PALESTINE DARI SISI LAIN

April 9, 2010

Entah berapa dekad isu ini sudah bergema, menyentuh jiwa dan kemanusiaan kita. Badan-badan dunia dan NGO mungkin sudah kelelahan menganjurkan perdamaian atau genjatan senjata di Palestian. Entah berapa ramai lagi anak-anak Palestin menjadi korban…oleh kekejaman Israel dan keserakahan pemerintah Palestine.

Kita dinegara-negara Islam mungkin tidak setuju untuk mengkritik kepimpinan Islam seperti Al-fatah atau Hamas. Media nasional lebih banyak menyebarkan berita yang dibumbui candu agama, menyebabkan kita berteriak (sejenak dan terus terlena) dengan slogan ‘Anti’ berdasarkan sentiment agama.

Masyarakat Palestine bukan sahaja beragama Islam, tapi juga beragama Kristian dan Paganisme. Justeru mereka tidak menganggap isu ini berkaitan agama. Meskipun ada kelompok kecil di Amerika atau di negara tertentu yang mempunyai harapan ‘kontra’ dan kepercayaan berbeda berkaitan isu tersebut.

Namun apa yang lebih menjengkelkan adalah sikap pemerintah Palestine itu sendiri, Palestine diperintah oleh seorang President dan seorang Perdana Menteri. Dua pemimpin ini masing-masing memiliki tentera berbeda; Al-fatah dan Hamas. yang siap berjuang untuk mempertahankan survival politik mereka, bukan untuk mempertahankan tanah Palestine atau rakyat Palestine.

Al-fatah dan Hamas memang tidak pernah sependapat dalam urusan pemerintahan Palestine. Jika satu pihak sudah bersetuju dan mahu berdamai dengan Israel, satu pihak lagi tetap menentang dan terus melakukan provokasi terhadap rakyat Israel. Tentera Israel yang ‘responsive’ pastinya mahu menunjukkan kehebatan mereka, akhirnya yang menjadi korban adalah rakyat biasa.

Al-fatah dan Hamas juga sering bergeseran, malah sanggup berbunuhan dan berperang sesama sendiri demi survival politik. Sekali lagi rakyat biasa; anak kecil, wanita dan orang tua yang terkorban dalam peperangan yang sengaja dicetuskan mereka. Malah suatu ketika bila PBB menghantar bantuan makanan serta pakaian untuk rakyat Palestine yang menderita kelaparan dan kedinginan, tentera Al-fatah sanggup menahan dan menyekat kenderaan yang membawa bantuan tersebut demi menunjukkan mereka lebih berkuasa ditanah Palestine.

Waktu itu, dimana suara dunia Islam? Mahu ‘Anti’ siapa? Kita mungkin sekadar berpangku tangan dan mengeluh saja. Untuk menyalahkan Al-fatah dan Hamas, rasanya sudah malu pada dunia.  Namun bila Israel bertindak balas terhadap mereka, kita dengan  pantas melaungkan slogan yang tidak berhujung sambil mencicip candu agama. Tidak pernah ada resolusi dari dunia Islam untuk mendesak  agar Al-fatah dan Hamas bersatu, cuma Arab Saudi secara bersendirian yang berkali-kali menyentuh hal ini.

Adalah suatu yang mustahil untuk mendamaikan Palestine dan Israel, selagi pemimpin Palestine tidak mengubah visi politik kepada survival rakyatnya. Selain masalah politik dalaman Palestine, satu perkara jelas yang mendorong sengketa berterusan antara Palestine dan Israel adalah ‘provokasi’ yang sangat subur antara mereka. Apalah makna ‘kertas’ perjanjian damai yang dianjurkan oleh Amerika dan PBB, jika Al-fatah,  Hamas serta Tentera Israel tidak komited dan bersatu menuju perdamaian.  

Sewaktu masih belajar, Saya juga berkawan dengan warga Palestine dan Jordan yang belajar satu  kampus dengan saya. Hampir setiap minggu dia dapat US$600 kiriman dari keluarga di Palestine, Maka saya membayangkan Palestine bukanlah negara yang terlalu miskin. Saya sempat bertanya isu sensitif ini, namun jelas sekali mereka tidak menganggap isu tersebut berkaitan agama. Selain soal “Hak”, ada masalah politik dalaman yang sering bertukar menjadi perjuangan dan dendam.

Dunia rasanya sudah lelah menyaksikan pemimpin Islam yang tidak bersatu ini, PBB mungkin sudah bosan menjadi ‘orang tengah’ sandiwara mereka. Amerika mungkin sudah ratusan kali menyediakan ‘kertas putih’ dimeja rundingan. Namun dibawah sana tetap saja bertukar letusan peluru dan bom. Anak kecil, wanita dan orang tua menjadi mangsa peluru yang tidak bermata.

Sementara dari jauh, kita sekadar Anti-Amerika, Anti-Israel dan Anti-Yahudi. Sambil memboikot produk Yahudi, kita juga dengan bangga berpetualangan di dunia maya menggunakan produk Yahudi. Sambil mengharamkan KFC dan McDonald, tangan kita sedang ligat menghantar SMS menggunakan produk Yahudi. Sedar atau tidak, jika runtuhnya ekonomi Yahudi, maka runtuhlah ekonomi dunia.

Alangkah baik, rangkaian dunia Islam yang “sangat kaya dan lemah” ini bersatu mendesak Al-fatah, Hamas serta Israel supaya akur dan komited menuju perdamaian. Saya secara peribadi tidak berniat untuk mengkritik atau menyalahkan sistem pemerintahan Palestine, apa yang  saya persoalkan adalah sikap kepimpinan tersebut.

Setiap kali kekejaman di Palestine berulang, kita di Malaysia dan Indonesia memang terkenal dengan budaya demontrasi jalanan. Tindakan itu memang baik untuk ‘penjual nasi bungkus dan pengusaha air mineral’. Tapi apakah ada kesan untuk masa depan anak-anak Palestine, Sedangkan OIC masih dipandang sebelah mata oleh masyarakat dunia. Semua itu kerana kelemahan negara-negara Islam yang sering tidak sependapat, malah terkenal dengan korupsi. Bagaimana mungkin suara kita dihormati dunia, apalagi untuk menentang Israel

F1 MALAYSIA 2010 DAN INTERNET 'SUPER KURA-KURA'

April 2, 2010

Bagi peminat F1 - Formula One di Malaysia, Inilah minggu yang dinanti-nantikan. Petronas Malaysian Grand Prix 2010 bermula hari ini pada 2 hingga 4 April 2010, di Sepang International Circuit (SIC) Malaysia. Kemeriahan dan keterujaan terhadap acara ini dapat dibayangkan, kerana kembalinya Micheal Schumacher menyertai sukan yang paling mahal dan paling berprestij didunia. Micheal Schumacher yang juga dianggap sebagai lagenda F1, sebelum ini pernah menjadi juara dunia sebanyak 7 kali.

Untuk warga Malaysia, F1 kali ini memiliki aura patriotisme  tersendiri dengan penyertaan Lotus sebagai  Malaysian Team. Pastinya penyertaaan Malaysian Team bukan sekadar dilihat sebagai satu perlumbaan, tetapi juga membawa usaha pengukuhan Promotion, Branding, Research and Development (R&D), Technology,  Kerjasama Pintar, Pendidikan dan Tourism.  

2010 adalah tahun ke -11 Malaysia menganjurkan sukan Formula One, dan beberapa kali diakui FIA sebagai penganjur terbaik. Semua kejayaan itu didukung oleh kemudahan infrastruktur yang moden dan lengkap, selain ciri-ciri keselamatan serta logistic.

Bila mengintai kemudahan infrastruktur yang moden dan lengkap dari sisi lain,  Bagi sesiapa rakyat Malaysia yang sudah menggunakan internet sejak tahun 90an, pastinya ada sedikit persoalan tentang kelajuan akses internet di Malaysia. Waktu dulu, lantaran masih baru tentang Cyber World, pasti tiada siapa mempersoal kelajuan internet di Malaysia. Tapi sekarang bagaimana? 

Jika dibandingkan kelajuan internet pada waktu dulu dan kini, rasanya tidak banyak perbedaan. sedangkan Coverage dan kemudahan internet amat meluas di Malaysia. Meskipun WiMAX cuma ada di Bandar-bandar utama, tetapi di ceruk kampung. seperti kampung saya turut terdapat akses Broadband, WiFi atau yang lainya.

Sambil berfikir positif demi kemajuan bersama, tidak keterlaluan untuk  membanding kelajuan internet di Malaysia dengan Korea Selatan, kerana Korea Selatan adalah negara seangkatan dengan Malaysia yang bangkit dengan cepat dari kejatuhan ekonomi pada tahun 90an. Tapi nampaknya kita tidak cepat dalam hal akses internet.

Kecepatan atau kelajuan internet yang ada di Korea Selatan pada waktu ini, boleh saja digelar ‘super cheetah’ jika dibandingkan dengan kita yang masih pada tahap ‘super kura-kura’. Jika di zaman saya belajar, akses internet pada kelajuan ‘kura-kura’ mungkin tidak disedari. Kerana tidak banyak yang boleh mendukung kreativiti, selain surfing dan MIRC, malah Google pun belum wujud, apalagi ‘mukabuku’(Facebook).

Yang menyebabkan kita sekadar berganjak dari tahap ‘kura-kura’ ke ‘super kura-kura’, bukan kerana tidak ada usaha ke arah kemajuan. tapi oleh ketidakseimbangan infrastruktur yang mendukung aplikasi kecepatan internet. Inilah yang menyebabkan standard kecepatan internet tidak menentu, selain persaingan oleh syarikat penyedia kemudahan internet yang belum merata.

Saya yakin, kerajaan juga menyedari hal ini. semoga Broadband (HSBB) yang baru dilancarkan kerajaan, dapat membawa cerita baru tentang internet ‘super kura-kura’. Jikapun tidak secepat ‘super cheetah’, setidaknya rakyat Malaysia dapat menikmati kecepatan baru ‘super penyu’. Sudah tentu dengan kecepatan internet ‘super penyu’ dapat menelurkan kreativiti yang lebih baik buat warga Malaysia

Jangan saja kecepatan yang baru itu nanti menjadi ‘lompat siKatak lompat’, yang menyebabkan akses internet sering terputus-putus. Kerana internet bukan lagi sekadar media, internet adalah wahana kreativiti dan sumber ilmu. 

Teknologi internet, Seperti juga dalam Formula One. Jika ingin maju, sememangnya kita harus terus belajar, berteman, mencontohi dan bekerjasama dengan mereka yang lebih maju. 

Salam 'super' untuk semua

'MyKad' BOLEH DIBELI, BENAR KAH?

March 23, 2010

Salam Hangat...
Mungkin isu ini lebih hangat berbanding salam saya, malah dari dulu lagi sering menghangatkan rakyat Malaysia. cuma entah kenapa? sampai sekarang masih ada cerita ini dan masih ada lagi individu  (warga asing) yang mahu percaya 'Mykad' boleh dibeli. Ada yang mengatakan boleh dibeli dengan harga RM1300, malah ada yang percaya boleh dibeli dengan harga RM600. Alangkah murahnya nilai kerakyatan Malaysia, jika benar seperti yang dikatakan.

Infomasi yang saya tulis ini bukan untuk menimbulkan provokasi, kontroversi atau seumpamanya. Apa yang jelas, semua ini adalah pembohongan pihak tertentu untuk mendapatkan keuntungan semata-mata. Maka tidak perlu untuk dipercayai walau dengan apa alasan sekalipun. Informasi ini sebenarnya saya dapat dari seorang TKI yang mengunjungi saya dan  bertanya hal tersebut. Untuk menjadi warga negara Malaysia sebenarnya harus melalui prosedur tertentu dan syarat-syarat yang termaktub dalam undang-undang negara. BUKANNYA DENGAN MEMBELI Mykad... Malah setiap tahun permohonan dari warga Indonesia untuk menjadi warganegara Malaysia atau pemastautin tetap (PR) adalah yang tertinggi.

Sedikit tentang MyKad
Mykad adalah Identity Card untuk mengenalpasti warganegara Malaysia,  Setiap warga negara yang berusia 12 tahun diwajibkan memohon dan membawa MyKad.  MyKad juga hingga kini diakui dunia sebagai yang tercanggih  (sila  beritahu saya jika infomasi ini salah). Dengan menggunakan kombinasi sistem Biometrik dan Mikrocip 64k untuk menyimpan pelbagai data, MyKad bukan sekadar  kad bergambar warna yang boleh di 'print' oleh sesiapa yang  memiliki komputer dan printer. Malah pemerikaan yang dibuat oleh pihak berwajib juga bukan sekadar melihat gambar, tapi menggunakan 'reader'  dan 'software' yang khusus untuk mengakses data yang terdapat dalam Mikrocip tersebut sepertimana yang telah didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Aktiviti pemalsuan MyKad memang terjadi, dan lebih mengecewakan bila dilakukan sendiri oleh warga asing demi mengaut keuntungan dari kelompok mereka. Berdasarkan undang-undang negara Malaysia, mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) serta Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2001 dan 2007). Sesiapa yang memiliki dan menggunakan MyKad palsu mengikut peraturan 25 (1) boleh dipenjara tidak melebihi 3 tahun ATAU denda tidak melebihi RM20,000 ATAU kedua-duanya sekali.

Jika pihak berkuasa lalai terhadap permasalahan ini, suatu ketika  akan jadi fenomena sepertimana masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sekarang ini yang sukar dibendung. Melihat ribuan kes, kecurian, rompakan, perkosaan, pembunuhan dan pemalsuan passport serta MyKad oleh warga asing di Malaysia. Iini adalah ancaman sebenar untuk rakyat Malaysia dalam jangka waktu yang panjang.

Legal Disclaimer
Artikel ini adalah ulasan peribadi dan untuk informasi sahaja agar tidak ada sesiapa mempercayai atau mendapatkan MyKad palsu dari pihak tertentu yang menawarkan. Artikel ini tidak bersifat 'authoritative' dan tidak mewakili Negara, Negeri, Organisasi, Majikan saya, Parti Politik, Keluarga saya, Kampung saya, atau ternakan  yang  ada di Kampung saya; ayam, itik, ikan, kambing, sapi dan yang lainnya.
 

© Copyright al-basri 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.